PM Bawa Semangat ‘Keluarga Malaysia’

ismailsabri.jpeg
Kongsi Bersama

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua pihak untuk mengenepikan perbezaan politik dan menawarkan menawarkan ruang kerjasama kepada pembangkang untuk membawa keluar negara daripada pandemik di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri petang tadi, Ismail mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin Yassin dan ahli-ahli Parlimen yang mendokong beliau sebagai perdana menteri.

“Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, mantan Perdana Menteri Malaysia yang telah berusaha sepenuh tenaga dalam menghadapi kemelut yang melanda negara bersama-sama ahli-ahli Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Sekali lagi dengan ikhlas, saya berterima kasih,” kata Ismail.

Menggunakan istilah “Keluarga Malaysia” dalam perutusannya kepada seluruh warga Malaysia, Ismail berkata beliau berempati dengan rakyat yang bergelut dengan hidup dalam berdepan pandemik ketika ini.

“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah.

“Oleh sebab itu,saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini.

Beliau berkata musuh bersama yang dihadapi “Keluarga Malaysia” ketika ini adalah pandemik Covid-19, sambil menambah kelompongan kuasa yang berlaku dan pertukaran kerajaan harus menjadi perkara yang lepas dan semua pihak perlu bergerak ke hadapan.

“Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” katanya.

Ismail berkata kemelut politik telah menimbulkan “keresahan rakyat”, sambil menambah ia boleh diredakan dengan kerjasama rentas parti politik.

“Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan.

“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan jawatankuasa khas menangani Covid-19.”


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top