KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan komitmen pemimpin Parti Warisan (Warisan), yang menyokong usaha pembentukan dan kestabilan kerajaan perpaduan yang diterajui beliau.
Perdana Menteri menerusi catatan di Twitter beliau semalam berkata komitmen berkenaan juga adalah demi kepentingan rakyat Sabah.
Menerusi ciapan tersebut, Anwar turut berkongsi gambar kunjungan hormat Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ke atas beliau di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Warisan memenangi tiga kerusi kesemuanya di Sabah iaitu Semporna, Lahad Datu dan Kota Belud.
Sementara itu Sinar Harian melaporkan Shafie sebagai berkata Perdana Menteri perlu memberikan perhatian serius terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau pelaksanaan itu perlu dilakukan walaupun secara berperingkat.
“Dalam pertemuan tadi, saya ada membangkitkan tentang pentingnya perjanjian itu dilaksanakan.
“Ia mungkin boleh dibuat secara berperingkat namun mesti dilakukan dengan serius kali ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Anwar.
Mengulas keperluan melantik timbalan perdana menteri dari Sabah dan Sarawak, Shafie berkata tiada perbincangan terperinci diadakan setakat ini.
Beliau berkata, sebaliknya pertemuan bersama Anwar lebih tertumpu kepada kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan.
“Kita tak bincang secara terperinci (jawatan TPM). Kita tunggulah waktunya,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan nama untuk membarisi Jemaah Menteri, Shafie berkata perkara itu juga belum dibincangkan secara terperinci.
“Kita ada bincang tentang perjalanan pentadbiran dan pandangan tentang pentingnya laksanakan amanah dengan baik kerana harapan rakyat terhadap pemerintahan yang ada pada hari ini.
“Kita harap ia akan dapat dilaksanakan. Ia bukan mudah, saya tahu banyak halangan,” katanya.