KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah untuk bubar Parlimen sebaik penularan Covid-19 reda.
Perkara ini dijelaskan menerusi perutusan khas yang disampaikan beliau pada petang Khamis.
Katanya, sebagai Ketua Kerajaan, beliau akan sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak COVID-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan,” jelasnya dalam perutusan tersebut.
Dalam perutusan itu juga Perdana Menteri menyeru kepada semua ahli politik, kerajaan mahupun pembangkang,untuk sama-sama berganding bahu dan menggembleng usaha memerangi pandemik Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.