Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keutamaan yang lebih ditekankan dalam pilihan raya hujung bulan ini ialah peluang untuk memenangi kerusi berbanding isu maruah sesebuah parti.
Katanya hal itulah yang dinyatakan pihaknya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika presiden PKR merangkap ketua pembangkang di parlimen itu berkunjung ke rumahnya baru-baru ini.
Menjelaskan isu pembahagian kerusi bagi menghadapi Perikatan Nasional, Mohd Shafie berkata sebelum ini dia sudah memberikan banyak kerusi kepada PKR.
Namun katanya PKR hanya berjaya memenangi dua kerusi saja.
“Ini bukan masa untuk kita memberikan kerusi, ini masa untuk kita memenangi pilihan raya.
“Ia bukan soal: ‘Oh, parti kami akan dipandang rendah kalau kami dapat jumlah yang lebih kecil’.
“Bukan soal maruah parti yang jadi keutamaan kita. Maruah untuk kita menang pilihan raya yang lebih penting,” katanya semasa berucap sebelum mengumumkan 54 calon yang akan bertanding di bawah lambang Warisan hari ini.
Majlis pengumuman calon itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu.