KOTA KINABALU: PKR Sabah masih menunggu keputusan rasmi dibuat presiden parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan di negeri ini yang berlarutan sejak Mac.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, penyelesaian isu itu terletak sepenuhnya di tangan Anwar.
Menurut beliau, pelantikan pengerusi baharu Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah akan dibuat serentak bersama beberapa negeri lain.
“Presiden sedang merangka untuk melawat beberapa negeri lagi jadi beliau mahu buat serentak. Jadi kita tunggu saja sementara ada banyak isu lain yang perlu kita selesaikan di peringkat negeri atau negara,” katanya.
Mustapha berkata demikian kepada pemberita pada majlis makan malam bersama pengamal media Sabah di Restoran Tanjung Seafood Tanjung Aru pada malam Jumaat.
Krisis PKR Sabah timbul selepas 15 pengerusi cabang yang diketuai pengerusi Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah, mengumumkan awal bulan lalu bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap pengerusi MPN sekarang, Datuk Dr. Sangkar Rasam, dan memintanya meletak jawatan.
Nama Mustapha kemudian disebut antara yang disokong untuk mengambil alih jawatan itu sekiranya Anwar memutuskan untuk menukar Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) sekarang.
Pada mesyuarat 20 April lalu, Anwar menjelaskan beliau akan membuat keputusan selepas berunding dengan semua pengerusi cabang PKR di negeri ini.