KOTA KINABALU: PKR Sabah menepis dakwaan bahawa ia menjadi batu penghalang kepada kerjasama antara Parti Warisan dan Umno dalam menghadapi pilihan raya negeri ke-17.
Sumber PKR Sabah berkata dakwaan itu diwujudkan oleh pihak tertentu untuk mengadu domba parti dalam Kerajaan Perpaduan, memandangkan Warisan juga antara parti yang membentuk kerajaan persekutuan.
NST dalam laporannya memetik sumber itu sebagai berkata, dakwaan tersebut dibuat disebabkan ketiadaan pemimpin Warisan hadir ke Himpunan Perdana Rakyat anjuran PKR Sabah pada 4 Ogos lalu.
Menurut sumber itu, semua pihak di bawah Kerajaan Perpaduan termasuk Warisan dijemput ke majlis itu yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“PKR menafikan dakwaan bahawa PKR Sabah tidak menjemput Warisan ke perhimpunan itu.
“Sekretariat majlis menyatakan PKR telah menghantar jemputan kepada semua pemimpin parti, tetapi ada yang tidak hadir.
“Oleh itu, dakwaan bahawa PKR menjadi batu penghalang kepada kerjasama Warisan dan UMNO adalah tidak berasas dan hanya disebabkan ketiadaan pemimpin Warisan pada perhimpunan tersebut,” kata sumber itu.
Sumber itu memetik laporan portal berita yang mendakwa PKR menentang kerjasama antara Warisan dan UMNO untuk pilihan raya negeri yang dijangka tahun depan.
Laporan itu memetik sumber Warisan, yang mendakwa PKR tidak ikhlas dalam hubungannya dengan Warisan semasa menjalinkan hubungan baik dengan UMNO di peringkat persekutuan.
Sumber Warisan itu juga dipetik sebagai berkata bahawa ini boleh mendorong PKR untuk mempengaruhi keputusan UMNO dalam kerjasamanya dengan Warisan, yang diterajui oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sementara itu, sumber PKR Sabah mendakwa mempunyai salinan jemputan dihantar kepada pemimpin Warisan untuk perhimpunan 4 Ogos itu.
Selain pemimpin PKR dan Pakatan Harapan, majlis itu turut dihadiri pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, serta UMNO Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Warisan dan UMNO dilaporkan merancang untuk bekerjasama bagi menghadapi GRS pada pilihan raya negeri ke-17.