KOTA KINABALU: PKR Sabah telah mengerahkan jentera bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) dan BN yang berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam dalam satu kenyataan, berkata jentera yang dihantar adalah melalui ketua-ketua cabang merangkumi 26 cabang seluruh Sabah termasuk Labuan.
“Hari ini (semalam) saya serta beberapa jentera berada di Kelantan untuk penamaan calon dan selepas ini jentera akan dipecahkan mengikut tugas masing-masing yang akan dipantau ketua-ketua cabang.
“Jentera Angkatan MUDA Keadilan dan Wanita Keadilan pula akan dipecahkan ke semua negeri terbabit,” katanya.
Selain itu, katanya ketua cabang Tuaran merangkap Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Pusat, Razeef Rakimin diberi tanggungjawab untuk memantau dan membantu kempen di semua negeri terbabit.
Sangkar berkata, pihaknya menghantar jentera terbaik bagi membantu sepanjang kempen sehingga hari pembuangan undi yang dijadualkan pada 12 Ogos.
Katanya, beliau yakin Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan pentadbiran negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Sangkar turut menyifatkan, PRN kali ini adalah peluang cerah untuk mengambil alih pentadbiran Kedah atas kegagalan kerajaan negeri dalam mentadbir serta menjaga kebajikan rakyat.
“Untuk Kelantan dan Terengganu saya melihat peluang 50-50 dan ini sangat baik kerana gelombang perubahan semakin kuat di dua negeri yang sebelum ini ditadbir oleh PAS sejak sekian lama,” katanya. – BHarian