PKR Gesa Putrajaya Segerakan RUU Anti Lompat Parti

IMG_20220203_024130.jpg
Kongsi Bersama

SHAH ALAM: PKR akan terus memberi fokus kepada usaha memastikan Putrajaya melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti seperti termaktub dalam butiran Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata usaha itu penting bagi menghalang wakil rakyat parti itu melompat parti termasuk menyertai parti serpihan mereka yang baharu ditubuhkan, Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sebab itu antara perkara kita fokus dalam kerjasama kita dalam MoU antara kerajaan dengan PH iaitu Akta Anti Lompat Parti, bagi saya itu antara perkara sangat penting untuk kembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik tak kira apa parti politik supaya orang tahu, mereka undi parti wakil rakyat mereka akan kekal.

“Kalau nak lompat mereka kena hadapi PRK (pilihan raya kecil) kita nak tekankan, kita harap Akta Anti Lompat Parti yang menjadi sebahagian MoU akan terlaksana,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program ‘Get to Gather’ bersama ‘Indian Leaders’ PKR di sini hari ini.

Nik Nazmi bagaimanapun berkata, kemunculan PBM tidak akan memberi sebarang ancaman kepada PKR walaupun parti yang baharu ditubuhkan itu diterajui bekas pemimpin mereka.

Sambil mengakui akan ada sedikit-sebanyak ahli PKR yang terpengaruh dan keluar menyertai PBM ketika PKR berdepan kesusahan, namun sebahagian besar ahli akan terus kekal bersama parti.

“Saya tak melihat PBM ancaman kepada PKR, sebab kita ada pendirian jelas, perjuangan jelas, malah PBM difahamkan berminat nak bersama BN, sejauh mana Umno boleh bagi laluan kita tak tahu,” katanya.

Katanya, PKR ditubuhkan sejak 1999 dan pelbagai pengalaman dilalui parti itu dan ia berbeza dengan PBM yang ditubuh hasil daripada mereka yang melompat.

Kita ucap selamat berjaya kepada mereka tapi kita pelik mereka bercakap (mengenai) politik pelbagai kaum dan sebagainya, tentang bangsa Malaysia tetapi ramai di antara mereka pilih parti perkauman dahulu selepas keluar PKR,” katanya merujuk bekas pemimpin PKR yang sebelum ini menyertai Bersatu.

Pada 21 Dis tahun lalu, PBM secara rasmi dilancarkan sebagai parti politik nasional selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) meluluskan pertukaran nama dan perlembagaannya daripada parti asal, iaitu Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Parti itu diketuai Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan di Johor, PBM mempunyai satu kerusi Parlimen, iaitu Tebrau yang diwakili Steven Choong yang juga Naib Presiden parti itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top