PKR Dakwa Rakyat Tak Pulang Mengundi, Politik Wang Punca Kalah Teruk Di Sarawak

PKR.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: PKR Sarawak memberi alasan keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan undi pos membabitkan 250,000 rakyat negeri itu yang bekerja di Semenanjung, selain dakwaan politik wang antara faktor kekalahan parti itu pada pilihan raya negeri (PRN), semalam.

PKR tewas di semua 28 kerusi ditandingi, berbanding menang di tiga kerusi pada PRN Sarawak 2016, manakala DAP sekadar menang di dua kerusi, dengan Amanah turut tewas di semua lapan kerusi ditandingi.

PKR dalam kenyataan berkata, majoriti daripada 250,000 rakyat Sarawak tidak dapat pulang mengundi susulan peningkatan ketara harga tiket penerbangan.

“Tidak ada harga siling dilaksanakan kerajaan bagi memudahkan rakyat Sarawak yang berada di Semenanjung untuk pulang mengundi.

“Selain itu, pandemik Covid-19 dan pelaksanaan pilihan raya pada Sabtu menyebabkan jumlah keluar mengundi adalah rendah,” katanya.

Dalam kenyataan itu PKR mendakwa, berlaku politik wang di beberapa kawasan tertentu.

“Kami sudah melaporkan insiden ini kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan SPR dengan kami sedang menunggu tindakan selanjutnya daripada badan berkuasa berkenaan,” katanya.

Katanya, antara faktor menyumbang kekalahan parti itu susulan tindakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menekan pengundi dengan sengaja melaksanakan pilihan raya sebelum Undi18, berkuatkuasa.

“Kesannya, sejumlah 150,000 pengundi muda terlepas peluang untuk mengundi pada pilihan raya kali ini,” katanya.

GPS meraih kemenangan besar selepas menguasai 76 daripada 82 kerusi ditandingi, manakala PSB menang empat kerusi, dengan dua dikuasai DAP. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top