TUARAN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Telipok Ria di Tuaran Sabah bermula semalam sehingga 10 Disember 2020.
Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim susulan itu pagar kawat berduri mula dipasang bagi memudahkan pemantauan di kawasan penempatan seluas 28 hektar terbabit.
“Bermula pukul 8 pagi tadi (semalam) sepasukan anggota PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia TLDM telah mula memasang pagar kawat berduri di seluruh kawasan Telipok Ria ini yang berkeluasan 70 ekar atau 28 hektar.
“Pemasangan pagar kawat berduri ini adalah yang terbesar (terpanjang) di Sabah iaitu sepanjang 1.7 kilometer panjang.
“Kawasan ini sebenarnya adalah kawasan penempatan berpagar dan terdapat beberapa bahagian pagar yang telah rosak dan dibocorkan, jadi dengan adanya kawat berduri ini akan memudahkan tugas pemantauan keluar masuk,” katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Utama Telipok Ria, Tuaran pada Jumaat.
Tambahnya dengan pemasangan kawat berduri terbabit urusan saringan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah JKNS dapat dijalankan. – Awani