PKPD: Peneroka Felda Umas Mohon Dibenar Tuai Hasil

sawit.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lebih 700 peneroka Felda Umas yang terputus punca pendapatan kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 28 April lalu menyeru kerajaan agar membenarkan mereka menuai hasil buah sawit yang telah masak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata berkata, penduduk masih boleh bertahan ketika pelaksanaan PKPD selama dua minggu yang berakhir 11 Mei lalu, namun pihak berkuasa membuat ketetapan supaya PKPD dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 25 Mei.

Sarifuddin berkata, pelanjutan tersebut akan menyebabkan buah sawit yang masak rosak dan tidak boleh dijual menyebabkan para peneroka bukan sahaja terputus punca pendapatan malah bakal kehilangan RM3,000 hasil sawit selama sebulan PKPD.

Sarifuddin

“Jadi minta kerajaan atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan mereka menuai hasil sawit sebab pada masa 14 hari yang pertama mereka tidak dibenarkan tuai hasil, ada 700 lebih peneroka di Felda Umas dan kalau difikir mereka boleh dapat hasil RM3,000 sebulan.

“Dalam masa dua minggu RM1,500 darab 700 peneroka sudah berapa yang hangus tidak dapat tuai buah, selepas itu sambung lagi 14 hari sudah berapa kerugian mereka jadi dua kali ganda.

“Buah ini kalau sudah masak sebulan tidak dituai tidak boleh sudah dijual maka kita minta MKN atau kerajaan negeri pandang serius perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sarifuddin, jika kerajaan atau MKN membenarkan buah sawit dituai, prosedur operasi standard (SOP) masih boleh dipatuhi dengan ketat bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Kita tahu ada Covid-19 situ tetapi bukan pekerja sawit yang kena tetapi keluarga peneroka.

“Yang menuai hasil sawit ini pekerja yang dibayar gaji dan kalau ikut SOP, kalau kita tuai buah mana ada orang berdekatan malah semua berjauhan,” jelasnya.

Katanya, dengan harga sawit semasa yang tinggi, amatlah merugikan jika buah yang masak dibiarkan rosak sedangkan setiap keluarga peneroka di situ bergantung kepada hasil sawit untuk perbelanjaan harian.

“Sekarang harga buah sudah naik peneroka bergantung kepada buah sawit mereka, hasil jualan sawit kalau tidak dapat jual macam mana mahu menampung keluarga, bayar bil air, elektrik atau bayar pinjaman bank.

“Jadi pihak berkuasa harus memandang serius perkara ini jangan aniaya peneroka ini mereka juga ada keluarga untuk ditanggung,” katanya.

Tambah Sarifuddin, peneroka juga melahirkan rasa tidak puas hati apabila sebuah syarikat swasta yang beroperasi di situ didapati masih giat membawa keluar buah sawit untuk dijual di kilang berhampiran.

Tegasnya, perkara itu menimbulkan tanda tanya sedangkan MKN telah melarang sebarang aktiviti menuai buah sejak PKPD dilaksanakan.

“Saya dimaklumkan ada juga sebuah syarikat swasta di dalam Felda membawa keluar buah sawit, sebelum ini syarikat itu menghantar buah ke kilang di dalam Felda Umas tetapi kilang itu tutup kerana PKPD.

“Jadi ini tidak adil kepada peneroka kerana mereka ada 700 lebih atau kira-kira 4,000 penduduk di Felda itu yang perlu makan melalui jualan hasil sawit,” tambahnya. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top