PKPD Di 3 Kolej Kediaman UMS, 2 Kampung Di Sabah

ismail-sabri.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Tiga buah kolej kediaman (KK) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini (5 April) sehingga 18 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia meliputi KK Tun Mustapha, KK Tun Fuad dan KK Tun Pengiran Ahmad Raffae di kampus induk Kota Kinabalu.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan melaksanakan 133 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 19 kes positif Covid-19 direkodkan,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Pihak kementerian itu ujar beliau, turut mengesahkan ada berlaku penularan wabak dalam kalangan penghuni di tiga buah KK tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

Justeru katanya, setelah dibuat penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal dan atas nasihat kementerian itu, PKPD dilaksanakan selama dua minggu mulai 5 April.

Pelaksanaan itu jelasnya, untuk memastikan pergerakan penghuni asrama di UMS dapat dikawal dan mengelakkan penularan baharu kes Covid-19 kepada komuniti di luar KK terlibat.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa PKPD juga dikenakan ke atas dua perkampungan di Sabah untuk tempoh sama bagi memudahkan tindakan kawalan dan menghalang jangkitan.

“Antaranya di Kampung Pagalungan Ansip, Keningau ekoran 15 kes positif sudah direkodkan daripada sejumlah 146 ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan hingga kini,” katanya.

Begitu juga PKPD di Kampung Kalindukan, Nabawan susulan lapan kes positif Covid-19 telah dicatatkan daripada sebanyak 99 ujian saringan dilaksanakan oleh pihak kementerian itu.

Dalam pada itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Daerah Keningau, juga di Sabah yang sepatutnya berakhir pada semalam, telah dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 18 April depan.

Beliau melaporkan, sehingga semalam, secara kumulatif sebanyak 2,138 kes Covid-19 sudah direkodkan dalam daerah ini dengan beberapa kampung turut dikenakan PKPD ketika ini.

Kementerian Kesihatan ujar Ismail Sabri, mengesahkan wujud beberapa kluster baharu dan masih berlaku peningkatan kes dalam komuniti sebanyak 148 kes dalam masa 14 hari lalu.

PKP di Keningau sudah bermula 22 Mac lepas setelah berlaku pertambahan kes baharu secara mendadak di Kampung Lingkudau yang sebelum itu telah pun dikuatkuasakan PKPD.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top