PKPB Seluruh Sabah Mulai Tengah Malam Ini

ismail.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah, ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di negeri itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu bermula tengah malam ini, sehingga 26 Oktober.

“Sebelum ini beberapa daerah di Sabah telahpun dikenakan PKPB iaitu di Lahad Datu, Tawau, Kunak, Semporna, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, selain beberapa lokaliti lagi telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Selain itu, Kawalan Rentas Daerah di Seluruh negeri Sabah juga telah dikuatkuasakan sejak 3 Oktober.

“Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan yang berlaku, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di seluruh Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) PKPB di Sabah, Ismail Sabri berkata, pergerakan keluar masuk serta rentas daerah tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

“Bagi yang ingin keluar membeli barangan keperluan, hanya dua orang sahaja dibenarkan,” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam, pusat rekreasi, masjid dan rumah ibadat, serta pusat hiburan perlu ditutup.

Dalam pada itu, Ismail Sabri bagaimanapun berkata, kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhui SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh MKN.

Beliau berkata, kerajaan telah menetapkan waktu operasi bermula 6 pagi hingga 2 petang bagi pasar borong dan pasar harian, 6 pagi hingga 6 petang bagi kedai barangan keperluan dan kedai runcit, restoran, warung, kedai kedai serbaneka, farmasi dan stesen minyak.

Ismail Sabri berkata, perkhidmatan teksi dan e-hailing, serta perkhidmatan penghantaran makanan pula dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam sahaja, manakala operasi klinik dan hospital dibenarkan 24 jam.

Selain itu, beliau berkata, sektor perikanan, perladangan, pertanian adalah dibenarkan.

Bagi sektor perniagaan dan perkilangan termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) yang ingin beroperasi, mereka boleh memohon kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top