KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mengagihkan bakul makanan kepada penduduk terjejas di zon merah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan Covid-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, setakat hari ini sebanyak 5,134 bakul makanan diagihkan di kawasan berkenaan.
“Pengagihan bakul makanan sedang giat dilakukan mengikut daerah iaitu Lahad Datu sebanyak 1,150 bakul makanan, Semporna (2,431), Kunak (553) dan Tawau (1,000).
“Manakala, bagi daerah Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Sandakan,
Tuaran dan Papar, pengagihan bakul makanan dijangka dimulakan pada 12 Oktober ini (esok).
“Kerajaan negeri juga menerima bantuan 6,300 bakul makanan dari kerajaan persekutuan dan sebanyak 1,000 bakul diagihkan di Kunak, Semporna (1,000), Lahad Datu (1,500), Sandakan (1,500), Tawau (1,000) serta Kota Kinabalu (300),” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, ia diselaraskan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pengagihan bakul makanan itu dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah.
Katanya, keutamaan agihan bakul makanan terbahagi kepada dua kategori iaitu penduduk yang terjejas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diperketatkan (PKPBD).
“Ia membabitkan kawasan kampung yang dikenakan perintah ‘lock down’ dan keluarga yang tidak boleh keluar rumah atas arahan kuarantin rumah,” katanya.