PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Sabah yang sepatutnya berakhir 26 Okt ini dilanjutkan 2 minggu lagi sehingga 9 Nov ini kerana peningkatan tinggi kes Covid-19 dalam kalangan penduduk di negeri itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan cadangan kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.
“Ketika ini, Kementerian Kesihatan masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk dan sehingga kini masih terdapat peningkatan kes positif yang tinggi dikesan dalam kalangan penduduk di seluruh Sabah,” katanya dalam sidang media hari ini.
Ismail berkata, 2 lokaliti di Sabah, iaitu Taman Semarak dan Projek Perumahan Rakyat Balung di Tawau akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai 26 Okt hingga 8 Nov ini.
“PKPD di kedua-dua lokaliti ini akan melibatkan 4,266 rumah dengan jumlah 21,470 penduduk.”
Ismail turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja Tropicana Petaling Jaya akan ditamatkan esok seperti dijadualkan.
“Sehingga 23 Okt, KKM membuat 503 saringan di asrama pekerja Tropicana dan 23 kes positif direkodkan.
“Semuanya sudah menerima rawatan di hospital, manakala kontak rapat diarah menjalani kuarantin wajib.”
Bagaimanapun katanya, lokaliti itu masih tertakluk kepada pelaksanaan PKPB untuk seluruh Selangor.
Beliau berkata, Ops Benteng untuk mengawal sempadan negara dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) kini lebih memfokuskan pengusiran berbanding tangkapan.
Katanya, 27 PATI ditahan dan 8 kenderaan disita dalam Ops Benteng semalam, dengan 297 sekatan jalan diadakan di seluruh negara.