Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram menyambut baik pengisytiharan darurat Covid-19, mengatakan ia bukan sahaja dibenarkan oleh undang-undang, malah bertepatan dari sudut perubatan dan sepatutnya dilaksanakan ketika pertama kali dicadangkan pada tahun lepas.
Sri Ram turut menyangkal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memadai untuk memerangi pandemik Covid-19, mengatakan ia hanya akan berkesan jika dilaksanakan bersama pengisytiharan darurat.
Beliau mengatakan apa yang dilalui baru-baru ini membuktikan betapa sukar bagi mengawal pergerakan orang ramai dalam usaha untuk meminimumkan penyebaran virus Covid-19.
“Bukan mudah nak kawal orang ramai. Anda beritahu mereka supaya jangan ke Ipoh, mereka tetap akan ke sana. Anda beritahu mereka tolong jangan pergi ke Johor, tetapi di situlah tempat semua orang akan pergi, kerana mereka ingin tahu mengapa mereka dilarang pergi ke situ,” kata Sri Ram kepada MalaysiaNow.
Semalam tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan menuduh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ingin kekal berkuasa melalui pengisytiharan darurat, mengatakan pelaksanaan PKP sudah mencukupi untuk membantu pihak berkuasa untuk memerangi jangkitan Covid-19 yang setakat ini sudah meragut 559 nyawa.
“Kami berpendapat bahawa undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan PKP yang diumum semalam, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini,” kata Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama.
Tetapi kata Sri Ram PKP itu sendiri sudah terbukti gagal.
“PKP secara bersendirian tidak dapat berfungsi tanpa kuasa darurat dan kawalan ke atas kawasan terjejas, kerajaan tidak dapat berfungsi.
“Hospital-hospital kini sesak. Perlu ada satu kuasa bagi menguruskan hospital-hospital atau bangunan swasta dan menukarkannya kepada fasiliti perubatan – bagi mereka kuasa,” tambahnya.
Baca seterusnya di: MalaysiaNow