PKP: Dua Individu Dibenarkan Dalam Sebuah Kenderaan

PKP.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 13 hingga 26 Jan ini, sekatan rentas negeri dan daerah turut dikuatkuasakan.

Dengan itu, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan turut dijalankan sepanjang tempoh berkenaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hanya dua anggota isi rumah dibenarkan dalam sebuah kenderaan untuk keluar membeli barangan keperluan di pasar raya atau kedai runcit berdekatan.

Katanya, mana-mana individu yang ingkar dengan larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP di Sabah itu dilakukan berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengesahkan jumlah kes harian Covid-19 di Sabah masih lagi tinggi dan menunjukkan peningkatan kes.

Dalam pada itu, Masidi berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kg Paginatan dan Kg Maringkan, Ranau ditamatkan semalam, seperti yang dijadualkan.

Sehingga kini, KKM telah melaksanakan sebanyak 424 ujian saringan di Kg. Paginatan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 kes positif direkodkan. Manakala di Kg. Maringkan, 166 ujian saringan telah dilaksanakan dan secara kumulatif merekodkan sebanyak 23 kes positif.

Katanya, KKM mengesahkan baki kes aktif di kedua-dua lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

 

 

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top