KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dilihat akan terus berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam mentadbir dan memimpin Sabah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan proklamasi darurat yang diumumkan pagi Selasa.
Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan proklamasi darurat sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di negara ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat kesihatan ini, ia akan terus meletakkan kerajaan dalam keadaan yang mencabar.
“Kita baru bentuk kerajaan negeri melangkaui 100 hari tetapi, cabaran-cabaran dihadapi terutama pandemik Covid-19 ini begitu getir dan mencabar.
“Namun, kita tidak berhenti di situ, kita merangka strategi yang saya rasa boleh membawa negeri ini ke arah sebuah negeri membangun yang boleh kita majukan dengan pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya semasa perasmian Program Hari Terbuka Libat Urus, Hala Tuju SMJ (Pelan Pembangunan 2021-2025) semalam.
Kemudian dalam satu kenyataan berasingan, Hajiji turut menyambut baik pengisytiharan proklamasi darurat yang dilihat sebagai satu tindakan wajar dan proaktif bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.
“Keperluan untuk mengawal virus daripada terus merebak dan melindungi kesihatan orang ramai adalah perkara paling penting,” jelasnya.
Pengisytiharan darurat ini diumumkan sehari selepas pengumuman PKP di enam negeri termasuk Sabah oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang kelmarin.
Dalam kenyataan Istana Negara semalam, Yang diPertuan Agong memperkenan tempoh pelaksanaan darurat itu sehingga satu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.