KOTA KINABALU: Pitas mahu mencapai seberapa banyak kejayaan peringkat global menerusi usaha untuk memecahkan rekod sempena sambutan Festival Tahun Baharu Cina tahun ini.
Sebelum ini, daerah berkenaan diiktiraf oleh ‘Malaysia Book of Records’ dengan menganjurkan acara sempena Tahun Baharu Cina selama 168 jam tanpa henti pada 2016.
Tahun ini, Pitas kembali untuk menganjurkan Festival Tahun Baharu Cina selama 16 hari iaitu setiap hari diperuntukkan untuk cuba memecahkan sebanyak enam rekod.
Jawatankuasa Penganjur yang diketuai oleh Asdi @ Mohd Faizal Hussin bagi mewakili Pegawai Daerah baru-baru ini bertemu dengan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai baru-baru ini untuk memberi taklimat mengenai acara itu yang bermula 9 Februari depan.
Antara acara yang bakal memecahkan rekod Asia dan peringkat dunia termasuk muzik tradisional tanpa henti oleh kumpulan etnik Kimaragang, berjalan buluh dengan kebanyakan peserta dari kumpulan etnik Tombonuo, dan persembahan silat paling lama dengan melibatkan peserta paling ramai.
Dalam pada itu, Joniston memuji usaha berterusan daerah itu selain menyifatkan sambutan Tahun Baharu Cina bukan saja membanggakan masyarakat setempat tetapi juga berpotensi untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi jangka panjang untuk Pitas.
“Kita mahu melihat Pitas berkembang sebagai destinasi pelancongan walaupun reputasinya sebagai salah satu daerah termiskin di Sabah.
“STB komited untuk membantu daerah ini dengan mengenal pasti dan mempromosikan produk atau acara unik yang dianjurkan.
“Kami juga mencadangkan agar penganjur menjemput para pemain industri pelancongan di Pitas untuk turut serta aktif dalam mempamerkan produk mereka,” katanya.
Beliau berkata, menerusi usaha itu ia akan meningkatkan kesedaran pengunjung dan menggalakkan minat terhadap tarikan pelancongan yang tersedia untuk mereka terokai.
Joniston berkata, Pitas memiliki kekayaan kekayaan pelancongan budaya yang menanti untuk diteroka dalam cabaran ekonomi sekarang.
Menurutnya, penganjuran luar biasa bagi daerah di pedalaman ini dalam meraikan perayaan Tahun Baharu Cina secara konsisten sejak 1969 menambahkan lagi semangat kepada landskap budaya walaupun terdapat halangan ekonomi.
Katanya, ramai yang tidak sedar pencapaian luar biasa ini yang sekali gus menonjolkan komitmen daerah berkenaan untuk memelihara dan mempromosikan kekayaan warisan dan budayanya.
Sementara itu Asdi berkata, acara berkenaan tidak dapat bertahan lama tahun lepas kerana hujan lebat yang menyebabkannya dibatalkan.
“Tahun ini kami kembali dengan acara yang lebih menarik berbanding sebelum ini dengan pelbagai aktiviti serta melibatkan pegawai dari ‘Asia and World Book of Records untuk menilai percubaan rekod kami,” katanya.
Sepanjang festival 16 hari itu, para peserta boleh melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti pertandingan nyanyian, ratu cantik, mencipta lagu, pertunjukan fesyen, perlawanan kumpulan dan pertandingan tarian etnik kreatif.
Selain itu, Festival Tahun Baharu Cina itu juga menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan untuk mempamerkan dan menjual produk mereka.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffrey Jimit. – UTUSAN BORNEO