PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Panglima Shafie Apdal berkata tiada apa yang tersembunyi atau disembunyikan berhubung pinjaman RM300 juta Sabah Development Bank (SDB) kepada AirAsia Berhad dan beliau mengalu-alukan siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, permohonan itu bukan dibuat dalam tempoh semalaman sebaliknya SDB sudah melakukan siasatan dan pertimbangan terbaik serta menyeluruh sebelum kelulusan diberikan.
“AirAsia Berhad adalah sebuah syarikat yang berdaftar di Bursa Malaysia, justeru sebarang urusan transaksi bernilai RM300 juta sudah tentu kelulusan diberikan selepas semua syarat pinjaman dipatuhi oleh pemohon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Shafie berkata sebagai syarikat penerbangan yang menjadi pilihan rakyat, AirAsia mempunyai pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada Sabah dengan syarikat tersebut menyasarkan mencipta sebanyak 100,000 peluang pekerjaan di negeri ini.
Katanya, syarikat penerbangan itu merancang beberapa projek pembangunan di Kota Kinabalu antaranya stor simpanan hasil pertanian dikenali sebagai “OurFarm”, selaras sasaran mereka menjadi pengedar utama hasil pertanian dan perikanan yang dijual melalui perniagaan digital atau e-commerce.
“AirAsia juga merancang membelanjakan RM110 juta untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai hab antarabangsa mereka.
“Segala perancangan AirAsia itu sudah tentu memberi manfaat kepada Sabah sebagai negeri yang kaya hasil pertanian dan perikanan,” katanya.
Shafie berkata, malah semasa beliau menjadi ketua menteri, Pelan Tindakan Pembangunan Pertanian 2021-2030 dilancarkan untuk menjadikan negeri itu pengeluar produk pertanian dan memastikan jaminan makanan bagi negara.
Katanya, dengan adanya bekalan produk pertanian, petani sudah tentu mampu menjana lebih banyak pendapatan dengan pasaran lebih luas sehingga ke peringkat antarabangsa dengan menjadikan AirAsia sebagai perantara.
“Untuk memasarkan produk pertanian, sistem pengangkutan amat penting justeru AirAsia bersedia menyediakan penerbangan agar setiap produk itu dapat sampai ke destinasi dengan cepat sebelum rosak,” katanya.
Shafie berkata, dalam sektor pelancongan pula, sudah tentu kegemilangan Sabah sebagai pusat tumpuan pelancong akan kembali sekiranya sasaran AirAsia menjadikan negeri itu sebagai hab antarabangsa menjadi realiti.
Beliau berkata, pihaknya sedar sebelum Covid-19 melanda, ekonomi Sabah meningkat dengan pesat dalam sektor pelancongan dan rakyat menerima limpahan ekonomi yang tidak terbatas di semua peringkat bukan sahaja di Kota Kinabalu tetapi melimpah sehingga ke pantai timur Sabah.
“Sebagai pentadbir negeri, kita tidak boleh bergantung kepada sebuah syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS) semata-mata, sebaliknya peranan syarikat lain terutama AirAsia juga tidak boleh diperkecilkan.
“Sehubungan itu, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab memajukan ekonomi, kerjasama erat perlu dilakukan dengan AirAsia kerana jika perancangan mereka berjaya, rakyat Sabah sendiri akan menerima manfaat,” katanya.