KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyifatkan pindaan Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan Parlimen sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Presiden STAR, Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, melalui pindaan itu, ruang yang lebih luas semakin terbuka untuk melaksanakan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia (MA63).
“Dengan undian 100 peratus di Dewan Rakyat membuktikan Ahli-ahli Parlimen dari seluruh negara telah memahami kehendak rakyat Sabah dan Sarawak dalam menuntut hak yang termaktub dalam MA63,” katanya.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berterima kasih kepada Ahli-ahli Parlimen kerana telah memberikan sokongan sepenuhnya ke atas pindaan itu.
Menurut Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya, pindaan tersebut merupakan satu sejarah dan hadiah kepada rakyat Malaysia dalam melangkah ke tahun baharu 2022.
Robert berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri kerana akhirnya mendengar permintaan rakyat Sabah dan Sarawak untuk membawa pindaan tersebut ke Parlimen dan seterusnya diluluskan dalam semangat Keluarga Malaysia.
Robert berharap, rakyat Malaysia khususnya di Sabah menerima pindaan tersebut dengan rasa senang hati dan terus bersatu bagi merealisasikan lebih banyak pindaan yang menjadi hak sebagaimana yang tercatat dalam MA63.