KOTA KINABALU: Pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja akan dibentang di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, Jemaah Kabinet telah meluluskan cadangan ini pada dasarnya.
“Sekiranya kesemua Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini bersetuju menyokong cadangan ini, kita akan bawa perkara ini di Mesyuarat Persidangan DUN akan datang untuk bertujuan meminda Perlembagaan Negeri,” katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) di persidangan DUN hari ini.
Abidin berkata, sebenarnya cadangan ini memang baik, kalau dilihat di peringkat Persekutuan juga sudah ada cadangan untuk menghadkan tempoh pelantikan Perdana Menteri.
“Kalau kita lihat pula di negara-negara barat yang maju seperti di Amerika Syarikat dan juga negara-negara barat yang lain, mereka juga menghadkan tempoh pelantikan Presiden dan Perdana Menteri mereka masing-masing.
“Jadi saya tekankan di sini sekali lagi, sekiranya semua bersetuju dengan cadangan ini, kita akan bawa ke Persidangan DUN yang akan datang,” katanya. – Warta Oriental