KOTA KINABALU: Bertahun lamanya hak dan status Sabah dirampas maka, tiba masa untuk kerajaan memerintah negeri Sabah pada Rabu mengemukakan usul meminda Perlembagaan Negeri Sabah bagi mengembalikan status Sabah.
Norazlinah Arif (Warisan-Kunak) berkata, kerajaan negeri perlu kemukakan usul untuk mengembalikan semula status Sabah kepada sebuah negara.
“Kerajaan Persekutuan telah menjatuhkan status negara kita kepada negeri dan kita pula menconteng arang ke muka yang di-Pertua Negara dengan menurunkan darjatnya.
“Ini boleh diperbetulkan. Saya mohon kerajaan hari ini membuat usul untuk meminda Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah kepada asalnya seperti yang sepatutnya.
“Ini hak kita, ini martabat kita..yang dirampas, kita boleh ambil balik kerana meminda Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah boleh dibuat diperingkat negeri oleh semua wakil rakyat di sini. Kita perlu bertindak,” katanya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.