Pimpinan Pusat PN, BN Diminta Tidak Campur Tangan Dalam Rundingan Kerusi Di Sabah

bung-n-hajiji.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor meminta kepimpinan pusat parti nasional supaya tidak mengganggu keseimbangan perkongsian kuasa yang dicapai kerajaan negeri ketika ini dalam proses rundingan kerusi untuk PRU15.

Hajiji berkata, parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) negeri sedang berusaha merangka formula pembahagian kerusi yang seimbang berasaskan dasar saling menghormati pakatan masing-masing.

“Saya beritahu kepimpinan persekutuan kita, daripada BN dan Perikatan Nasional (PN), tolong jangan campur tangan di Sabah. Kami telah berpegang kepada perjanjian kami untuk tidak bertelagah. Kami mempunyai tiga tahun lagi (untuk menghabiskan penggal). Kenapa kita harus bergaduh sekarang?” katanya.

Hajiji berkata, para pemimpin di peringkat nasional itu setakat ini memahami pentingnya kestabilan bagi melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis konvokesyen di sini semalam.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu berkata komponen GRS-BN bersetuju sebelum pilihan raya negeri 2020 untuk bekerjasama dan sejak itu mengukuhkan ikatan mereka.

“Kami berbeza di sini, unik kepada politik negara. Kami mempunyai persefahaman, dan kami berpegang padanya,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku pertembungan antara GRS dan BN.

Hajiji menegaskan bahawa rundingan akan berjaya walaupun terdapat banyak khabar angin mengenai ketidakpuasan hati dalam kalangan parti komponen.

Menurut beliau GRS dan BN telah membuat perjanjian untuk tidak bertanding antara satu sama lain, sebaliknya saling menyokong di mana sahaja salah satu daripadanya bertanding.

“Itulah prinsip kerjasama. Musuh kami ialah pembangkang – Warisan dan PH – dan kami adalah blok kerajaan.” kata beliau lagi.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top