Pilu lihat rakaman CCTV anak didera pengasuh taska, dipukul ketika makan

dera.jpg

Tangkap layar video tular kes dera yang melibatkan pengasuh berkenaan.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hati mana yang tidak pilu apabila anaknya ditendang, ditampar dan ditarik rambut orang yang sepatutnya menjaga anak itu dengan sebaik mungkin.

Itulah perasaan yang dialami oleh seorang bapa berikutan perlakuan seorang pengasuh wanita terhadap anaknya di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang.

Lebih memilukan, rakaman kamera rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu ditampar dan dipukul menggunakan pembaris di bahagian muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.

Rakaman CCTV mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak petang semalam.

Menurut HMetro bapakepada kanak-kanak terbabit yang enggan dikenali berkata, dia sendiri tidak sanggup melihat rakaman video daripada CCTV memaparkan anaknya didera.

“Saya sendiri tidak sanggup lihat rakaman video daripada CCTV anak saya ditendang dan ditampar di bahagian muka dan kepala. Ibu bapa mana tidak sedih anak diperlakukan sedemikian.

“Malah lebih memilukan saya, ketika hendak makan, anak saya turut ditampar dan dipukul guna pembaris berkali-kali,” katanya dalam nada sebak ketika dihubungi HMetro semalam.

Bapa kepada kanak-kanak itu turut mendakwa sudah dua kali anaknya menjadi mangsa dera di taska berkenaan sejak Mac lalu.

Katanya, kejadian pertama dua minggu lalu selepas isterinya mendapati ada kesan lebam di bahagian tangan anaknya sebaik diambil daripada taska berkenaan.

“Pada mulanya anak saya mengatakan dipukul oleh guru (pengasuh) namun mengubah mengatakan dipukul rakannya.

“Tetapi seminggu kemudian isteri melihat kesan lebam lain di bahagian dada anak kami sebelum bertanya kepada pihak taska.

“Pihak taska hanya memberikan jawapan bahawa itu perkara biasa kerana kemungkinan anak kami bergaduh dengan rakan di taska terbabit,” katanya.

Menurutnya, semalam, sebaik menjemput anaknya di taska itu, isterinya mengusap ubun-ubun anaknya dan terkejut melihat ada kesan luka di kepala anaknya itu.

Katanya, dia bertanya kepada pihak taska namun mereka tiada jawapan mengenai kesan luka itu dan meminta untuk memeriksa CCTV di taska berkenaan sebelum melihat rakaman anaknya didera.

Bapa kepada kanak-kanak itu sudah membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Aru untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, anaknya kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi mengenal pasti kecederaan yang dialami kanak-kanak itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top