KOTA KINABALU: Sabah sudah memulakan aktiviti pendataan warga asing secara “pilot test” di beberapa ladang kelapa sawit milik Kumpulan Syarikat Sawit Kinabalu yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri dan akan diteruskan sepenuhnya dalam tempoh enam bulan dari sekarang, bermula dengan sektor perladangan.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, berkata pendataan ini melibatkan semua pemegang kad IMM13, Sijil Banci MKN, Dokumen JKM (Burung-Burung) dan semua warga asing yang bekerja di Sabah.
“Kerajaan negeri memulakan aktiviti ini secara berfasa untuk memastikan segala proses pendataan dijalankan dengan teliti, teratur dan efektif, kerajaan juga akan mendapatkan data-data Biometric yang dilengkapi dengan ‘facial recognition’ (sistem pengecaman wajah).
“Semua data yang diperolehi adalah milik kerajaan negeri, manakala aktiviti pendataan tidak akan memberikan taraf kewarganegaraan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Bajet 2023 Sabah.
Beliau menjawab soalan Datuk Darell Leiking (Warisan-Moyog) dan Chong Chen Bin (Warisan-Tanjong Kapor) yang membangkitkan isu berkaitan pendataan warga asing ketika sesi perbahasan, sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Abidin berkata belum ada kredit karbon yang diperdagangkan di Sabah setakat hari ini.
Katanya, bagi tujuan saringan ke atas sebarang projek kredit karbon yang hendak dilaksanakan di Sabah, kerajaan telahpun menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri.
“SCAC juga bertanggungjawab untuk menetapkan hala tuju dan membincangkan dasar serta tindakan bagi menangani isu perubahan iklim, dan memacu pertumbuhan ekonomi dan teknologi hijau, serta menggalakkan pembangunan rendah karbon dalam negeri.
“Selain itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Peguam Besar Sabah juga sedang mengkaji penambahbaikan terhadap peruntukan-peruntukan berkaitan perdagangan kredit karbon di bawah Enakmen Hutan 1968,” katanya.