Pilih Pemimpin Yang Baik Untuk Negara – Shafie

DSSA.jpeg

Shafie merasmikan Pusat Khidmat Warisan Ampang dan Pandan pada Isnin.

Kongsi Bersama

Rakyat mempunyai peranan penting dalam memilih pemimpin yang baik yang mampu membangunkan negara, kata Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Shafie berkata rakyat tidak seharusnya tersilap dalam memilih kerana mereka boleh menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Beliau berkata jika rakyat membuat pilihan berdasarkan pencapaian dan kewibawaan seseorang pemimpin, Malaysia boleh menjadi sebuah negara maju.

“Namun, jika rakyat masih mengharapkan pemimpin yang hanya akan menabur wang pada pilihan raya akan datang, maka ia akan menghancurkan kepimpinan negara.

“Jika mentaliti rakyat dimusnahkan oleh wang, negara kita akan dipimpin oleh kerajaan yang tidak akan membawa apa-apa faedah kepada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Khidmat Warisan Ampang dan Pandan, Selangor, pada Isnin .

Menurutnya, negara jiran Indonesia pernah mengamalkan politik wang semasa pemilihan pemimpin dan ia menyukarkan pembangunan negara itu.

“Bagaimanapun, mereka kini telah memilih pemimpin yang berkaliber untuk membangunkan negara mereka,” katanya.

Dalam majlis itu, Shafie menasihati golongan muda yang hadir supaya menjadi ahli setia Warisan.

Beliau berkata Warisan adalah parti politik yang tidak berasaskan satu kaum dan agama seperti parti politik lain di negara ini.

“Pengundi muda harus sedar bahawa jika mereka ingin memakmurkan negara, kepimpinannya perlu terbuka dan adil kepada semua kaum.

“Saya berharap semua anak muda yang berada di sini akan menjadi penentu kerajaan yang baik pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Hadir sama, ADUN Teratai, Selangor, Byran Lai; Dr Rajiv Bhanot; Raja Chua; Haji Ismail Hashim dan Jimmy Wong.

Sumber: The Borneo Post

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top