PETALING JAYA: Pengundi di Melaka digesa menyokong parti yang mempunyai perancangan jelas dan mampu berkomunikasi dengan baik, kata bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (SSK).
Menegaskan bahawa negara kini bergerak ke arah pembentukan sistem dua parti, beliau berkata, pengundi perlu memilih parti yang mampu membentuk kerajaan.
“Masa suntuk jadi kita perlukan parti dengan perancangan jelas dan komunikasi baik,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurutnya, sehingga kini Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing telah mengumumkan manifesto serta calon Ketua Menteri mereka untuk Melaka.
Tambahnya, BN berusaha menjadi yang terbaik dan sebab itulah calon pilihannya rata-rata mempunyai rekod prestasi yang sangat baik.
“Masa juga membuktikan BN mampu berubah ke arah lebih baik.”
Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, 28 calon gabungan itu membuktikan naratif politik BN yang berasaskan keharmonian antara kaum.
Sebelum itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata, BN kini dapat kembali ke jalan “sederhana, pelbagai bangsa dan progresif,” susulan keputusan PAS bertanding di bawah PN.
Pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 Nov ini.