KOTA KINABALU: Pihak berkuasa kesihatan Sabah kini sedang meneliti dakwaan mengenai bekalan ubat yang tidak mencukupi di hospital di negeri ini.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bekalan yang semakin berkurangan di Sabah, pengarah kesihatan negeri Dr Rose Nani Mudin memberitahu FMT: “Kami sedang menyiasat isu ini.”
Dakwaan mengenai kekurangan ubat itu dibuat oleh bekas timbalan ketua menteri Datuk Christina Liew dalam satu kenyataan.
Liew, yang juga Ahli Parlimen Tawau dan Adun Api-Api menggesa kementerian kesihatan memastikan semua hospital di negeri ininmempunyai bekalan ubat yang mencukupi sepanjang tahun.
Katanya, dia berasa terganggu apabila mengetahui bahawa ubat-ubatan tertentu “kehabisan stok”.
Menurutnya, ada pesakit, termasuk mereka yang mempunyai penyakit jantung, telah diberitahu (mengenai kekurangan ubat) sejak awal tahun ini apabila mereka mengambil ubat di farmasi kerajaan.
“Pesakit diberitahu bahawa ubat diberikan hanya untuk tempoh dua minggu bukannya sebulan sebulan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.
“Akibatnya, pesakit terpaksa datang selepas dua minggu untuk mendapatkan bekalan ubat mereka.
“Ia menimbulkan kesulitan kepada warga emas khususnya. Kita tidak memulakan tahun 2022 di landasan yang betul jika kita mendapat laporan seperti ‘ubat kehabisan stok’.”
Liew berkata keadaan seperti itu tidak boleh timbul melainkan ada sesuatu yang tidak kena dalam rantaian bekalan.
“Kerajaan hari ini harus mengutamakan penjagaan kesihatan awam dengan memastikan tiada kekurangan ubat di hospital awam.”
Dalam laporan Daily Express November lalu, jurucakap Hospital Queen Elizabeth II di sini berkata pihak hospital terpaksa mengurangkan jumlah ubat yang diberikan kepada pesakit luar berikutan stoknya semakin berkurangan.
Jurucakap itu bagaimanapun memberi jaminan bahawa keadaan itu hanyalah sementara, sambil berkata pihak hospital sedang dalam proses mendapatkan stok baharu.