PICK: Pemberian Dos Penggalak Kepada Warga Emas Bermula Hari Ini

vaksin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah memutuskan untuk melaksanakan pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin COVID-19 kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas bermula hari ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia berikutan pencapaian Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Sabah bagi golongan dewasa telah mencapai 76.6 peratus bagi dos pertama dan 72.5 peratus bagi dos lengkap.

“Justeru, kerajaan negeri hari ini memutuskan untuk melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas bermula esok.

“Sebelum ini negeri Sabah telah memulakan pemberian dos penggalak kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan bermula dari 20 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Shahelmey yang juga Exco Kesihatan berkata, tujuan pemberian adalah supaya penerima vaksin boleh mendapatkan tahap perlindungan yang optima terhadap jangkitan COVID-19.

Katanya, individu yang layak menerima dos penggalak adalah individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin jenis Comirnaty (Pfizer) sekurang-kurangnya enam bulan dari dos kedua dan Coronavac (Sinovac) sekurang-kurangnya tiga  bulan dari dos kedua.

“Selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelaksanaan pemberian dos penggalak adalah menggunakan sama ada vaksin Comirnaty (Pfizer) atau vaksin Coronavac (Sinovac).

“Pemberian dos penggalak adalah percuma di bawah PICK,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top