DOHA: Arab Saudi melakar salah satu kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan juara dua kali, Argentina 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan C di Stadium Lusail, dekat sini, sebentar tadi.
Menghuni ranking ke-51 dunia, Arab Saudi tampak bakal menjadi pasukan belasahan selepas Lionel Messi membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi sepakan penalti.
Argentina seharusnya selesa pada babak pertama namun tiga jaringan mereka dibatalkan kerana offside.
Arab Saudi bangkit selepas rehat dalam tempoh 10 minit menerusi jaringan penyamaan Saleh Al-Shehri sebelum Salem All Dawsari meledak gol kemenangan.
Bukan setakat pantas dalam menyerang tetapi skuad Green Falcons bertahan dengan baik apabila berjaya menyekat jentera serangan Argentina yang dibarisi bintang untuk kemenangan keempat mereka di pentas Piala Dunia.
Anak buah Lionel Scaloni hadir di Qatar sebagai antara pasukan pilihan dengan rekod tanpa kalah dalam 36 perlawanan termasuklah menjuarai Copa America 2021.
– AGENSI