PH Umum Anwar Calon PM, Bakal Bertanding di Tambun

dsai.jpg
Kongsi Bersama

IPOH: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan perkara itu dalam Konvensyen Harapan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini malam tadi.

“Majlis Presiden PH melalui proses temu rapat di Port Dickson, temu rapat di Seremban dan siri mesyuarat… membuat keputusan… memasuki PRU15, PH menawarkan kepada rakyat Malaysia, satu nama jika mandat diberikan… calon Perdana Menteri kita adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Tambah beliau, perjuangan PH bukan semata-mata untuk menamakan individu untuk jawatan berkenaan, sebaliknya kerusi Perdana Menteri harus diisi individu seperti Anwar berdasarkan kepada situasi semasa.

“Perjuangan PH bukan soal meletak satu-satu tokoh, untuk menjawat jawatan ini… jawatan ini datang dengan tanggungjawab sangat berat.

“Ekonomi negara sedang merudum, kadar inflasi dan isu harga barang yang bermasalah, derita rakyat dengan ringgit yang terus merudum… ekonomi negara mesti diselamatkan oleh kerajaan yang bertanggungjawab di bawah kepemimpinan seorang yang mampu memperbaiki ekonomi negara,” katanya.

Hadir sama pada konvensyen itu, timbalan-timbalan Pengerusi PH antaranya, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata hasil rundingan kerusi Parlimen bagi parti-parti komponen dalam PH telah selesai, namun maklumat lanjut tidak didedahkan.

Katanya ini kerana PH sedang dalam peringkat untuk memuktamadkan rundingan kerusi bagi parti-parti bukan PH secara kerjasama pilihan raya.

“Pada masa sama, sesuai dengan keputusan Majlis Presiden PH rundingan berikutnya dengan parti-parti bukan PH, yang telah kita putuskan bersama melalui pendekatan electoral pact (kerjasama pilihan raya).

“Hal ini kita akan diselesaikan dalam tempoh terdekat, dalam dua ke tiga hari lagi bagi mencapai keputusan muktamad,” katanya.

Pada majlis berkenaan PH turut melancarkan maskot dan lagu rasmi bagi mendepani PRU15.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top