Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah memang dicadangkan dahulu oleh Pakatan Harapan (PH) tetapi mereka cuma membuat janji kosong dan tidak pernah ditunaikan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Katanya, BN Sabah akan memasukkan jawatan TPM dari Sabah ke dalam manifesto BN dan janji itu akan dilaksanakan apabila BN menang secara dominan pada PRU kali ini.
“PH gagal menunaikannya dan ia hanya janji kosong. Tapi dalam konteks Sabah ini, BN akan menunaikan apa yang dijanjikan dan BN Sabah akan menyediakan bakal TPM yang lebih berwibawa dan lebih fokus kepada tugas sebagai TPM.
“Urusan untuk pelantikan itu akan lebih dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Ketua Biro Polisi DAP Sabah, Chan Foong Hin yang mengatakan bahawa jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak itu adalah idea PH dan telahpun dibincangkan untuk manifesto mereka sebelum BN membuat pengumuman mengenainya.
Foong Hin dalam kenyataannya berkata, mereka sebenarnya bercadang untuk mendedahkan perkara itu ketika melancarkan manifesto PH tetapi kini terpaksa bercakap mengenainya, kerana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyebut tawaran yang sama ketika lawatannya ke Kimanis hujung minggu lalu.
Tambah Bung Moktar lagi, kuota jawatan TPM dari Sabah itu juga adalah bagi memastikan kuasa diberikan kepada Sabah untuk menentukan hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat Sabah ditangani secara tuntas.
“Tidak ada gunanya ada TPM tapi tiada peranan dan kuasa untuk menentukan pembangunan di Sabah,” katanya.
Sebelum itu, Presiden UMNO merangkap Pengerudi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Bung Moktar memasukkan jawatan TPM dari Sabah dalam manifesto BN Sabah bagi PRU15.
Beliau turut mencadangkan supaya jawatan itu bukan saja mewakili pemimpin dari Sabah malah dari Sarawak dan Semenanjung.