PH Tampilkan Paling Ramai Calon Wanita

calon-wanita.jpg

Antara calon wanita yang bertanding: dari kiri, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin bertanding di Batu, Young Syefura Othman (Bentong), Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) dan Datuk Seri Rina Harun (Sepang). (Foto: Awani/Bernama)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seramai 187 wanita turun ke gelanggang PRU15 untuk bersaing dengan 127 daripadanya bertanding kerusi Parlimen manakala 60 lagi kerusi DUN di Perlis, Perak, Pahang dan pilihan raya kecil DUN Bugaya di Sabah.

Angka itu mewakili hanya 13.5 peratus daripada keseluruhan calon.

Jumlah calon wanita teramai datangnya dari Pakatan Harapan (PH), iaitu 39 daripada keseluruhan 205 calonnya. Ini termasuklah calon Parlimen Tanjung Karang yang menggunakan tiket sekutunya Muda, dan calon Parlimen Lanang di Sarawak yang menggunakan logo DAP.

Barisan Nasional (BN) pula menurunkan 22 calon wanita dalam kalangan 178 calonnya.

Perikatan Nasional yang mempertaruhkan 149 calon meletakkan 16 calon wanita, manakala Gerakan Tanah Air (GTA) menampilkan 16 wanita dan 100 lelaki sementara Parti Warisan Sabah pula memberi tempat kepada enam calon wanita.

10 wanita bertanding atas tiket Bebas, manakala yang selebihnya mewakili lain-lain parti.

Peggy Chaw Zhi Ting, 23, calon bebas bagi kerusi parlimen Tenom, adalah peserta wanita termuda manakala Datuk Christina Liew, 70, calon PH-PKR bagi kerusi parlimen Tawau, adalah yang tertua.
Calon-calon wanita terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kelayakan akademik, dengan ada yang bekerja sebagai peguam, doktor dan memegang jawatan penting dalam parti yang mereka wakili.

Mereka termasuk Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, orang kelainan upaya (OKU) yang profesional, membuktikan politik Malaysia semakin matang dan terbuka.

Noraishah yang menghidap spina bifida sejak lahir bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya di bawah tiket PH-PKR menentang lima calon lain termasuk penyandangnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada BN.

Kerusi Parlimen Ampang menyaksikan paling ramai wanita bertanding. Selain penyandangnya Datuk Zauraida Kamaruddin (Parti Bangsa Malaysia), calon-calon lain ialah Ivone Low Yi Wen (BN-MCA), Sasha Lyna Abdul Latif (PN- Bersatu), Dr Nurul Ashikin Mabahwi (GTA-Pejuang) dan Rodziah Ismail (PH-PKR). Empat calon lain yang bertanding di kerusi tersebut adalah lelaki.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top