KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak akan berkompromi dengan pemimpin-peminpin yang dikaitkan dengan isu rasuah.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata, baru-baru ini banyak tuduhan-tuduhan berlaku, tetapi PH Sabah tidak berkompromi dengan isu berkenaan.
“Walaupun itu sebenarnya baharu diperingkat tuduhan dan belum lagi dibuktikan dalam mahkamah, tetapi kami mahu tekankan bahawa walaupun begitu…kita tidak akan berkompromi.
“PH Sabah yang terdiri daripada PKR, DAP, UPKO dan AMANAH tidak akan berkompromi dengan isu-isu rasuah sebab kami memperjuangkannya dalam manifesto dalam gerakan reformasi.
“Antara yang kita menentang selama ini adalah isu-isu rasuah. Apabila tuduhan berkenaan berlaku baru-baru ini…seolah-olah kami dilihat berkompromi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Buka Mata Singa sempena Tahun Baharu Cina 2025 bahagian Sepanggar, di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membuat siasatan secara bebas.
“Biar SPRM buat siasatan dan siapa yang didapati bersalah tetap bersalah, tetapi jangan ada pihak mengadili mereka yang belum didapati bersalah.
“Saya mahu rakyat bersikap rasional dan pandai menilai, pada akhirnya kita perlu berfikir mengenai kestabilan Sabah, kemajuan ekonomi dan kestabilan politik,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, jangan sesekali membuat keputusan terburu-buru sehingga menjejaskan rakyat.
Katanya, rakyat Sabah sudah terkesan dengan beberapa kali tindakan pertukaran kerajaan sehingga menjejaskan kehidupan.
“Oleh itu, kita kena fikirkan yang mana lebih penting…kepentingan politik atau kepentingan rakyat.
“Inilah yang saya cuba suarakan agar kita berfikir bersama-sama,” katanya.
Berkenaan dengan program, Mustapha berkata, penganjuran program berkenaan sudah dilakukan selama tiga tahun berturut-turut.
Beliau menghargai kehadiran daripada masyarakat sekitarnya yang bersama-sama menjayakan program itu.
“Perlu ada titik persamaan dalam kepelbagaian di Sabah, inilah konsep yang saya fikir perlu kita pegang bersama, walaupun kita berbeza dari segi kaum dan agama.
“Banyak titik persamaan kita diantara satu sama lain, nilai-nilai agama, nilai kita dalam masyarakat, nilai-nilai murni dalam kekeluargaan, pendidikan, sosial, ekonomi dan banyak lagi,” katanya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Peto Galim, ADUN Likas, Datuk Tan Lee Fatt, Pengerusi Penganjur Datuk Wong Thein Fook serta tetamu kehormat yang lain. – Utusan Borneo