PH Sabah tentukan rakan kerjasama PRN17 hanya selepas DUN dibubar

christina.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan membuat keputusan untuk bekerjasama atau bergabung dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17)hanya selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.

Menegaskan mengenai perkara itu Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew berkata, setakat ini pihaknya belum membuat sebarang ketetapan.

“Kita tunggu apabila kerajaan membubarkan DUN kerana apa yang saya dengar, kerajaan sekarang akan kekal sehingga tamat penggal DUN iaitu pada Oktober tahun depan,” katanya sebagaimana dilaporkan BHarian.

Menurut beliau, setakat ini PH Sabah memberi tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Christina dilaporkan berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama kakitangan dan media, di sini, malam semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, berkata demikian ketika ditanya sama ada PH mahu bekerjasama dengan Gabungan Rakyat (GRS) atau Barisan Nasional (BN) pada PRN17 nanti.

Mengenai kemelut dalam PKR Sabah, Christina berkata, kemelut kepemimpinan yang melanda PKR Sabah ketika ini adalah situasi biasa yang sering berlaku dalam parti itu.

“Isu menukar pengerusi atau pemimpin dan orang yang keluar (dan masuk) parti sudah banyak kali berlaku sejak lebih 20 tahun lalu, jadi ia sudah menjadi perkara yang biasa.

“Namun, saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR akan dapat menyelesaikan isu yang berlaku kali ini dan menyatukan ahli untuk kita menghadapi PRN17,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top