PH Sabah tarik balik saman pemula terhadap kerajaan

tukul-mahkamah.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Sabah menarik balik saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah mengenai tuntutan 40 peratus hasil negerinya.

12 pemimpin PH Sabah dalam kenyataan berkata, keputusan menarik balik saman itu mengambil kira pendapat undang-undang berhubung kedudukan plaintif dalam saman pemulanya sebagai ahli Kabinet Persekutuan dan negeri ketika ini.

Kata kenyataan itu, adalah tidak wajar untuk plaintif meneruskan tindakan undang-undang terhadap kedua-dua defendan yang menerajui kerajaan Persekutuan dan negeri.

Bagaimanapun, katanya, plaintif bebas memfailkan semula saman tersebut jika beberapa isu tidak dipersetujui dan diselesaikan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 (Jawatankuasa Teknikal) yang dibentuk.

“Setelah mengambil kira kemajuan yang dicapai dan perkara positif menerusi Jawatankuasa Teknikal, kami berpendapat gerak kerja Jawatankuasa Teknikal harus disokong untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

“Oleh itu, kami bersetuju menarik balik saman pemula.

“Bagaimanapun, kami berhak untuk membawa semula kes ini ke mahkamah agar kesemua hak perlembagaan seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dituntut sepenuhnya,” kata kenyataan itu hari ini.

12 wakil rakyat itu ialah Datuk Christina Liew Chin Jin; Datuk Ewon Benedict; Datuk Frankie Poon Ming Fung; Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Awang Husaini Sahari; Chan Foong Hin; Phoong Jin Zhe; Jannie Lasimbang; Peto Galim; Tan Lee Fatt; Vivian Wong Shir Yee dan Noorita Sual.

Pada Jun 2022, PH Sabah memulakan tindakan undang-undang dan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama, dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai defendan kedua berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri dikutip kerajaan Persekutuan.

Pada November tahun lalu, Ewon merupakan Ahli Parlimen Penampang dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dilaporkan berkata, saman terhadap Kerajaan Persekutuan berkaitan 40 peratus hasil negeri Sabah tidak akan ditarik balik walaupun gabungan itu berjaya membentuk kerajaan bersama parti politik lain selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan saman pemula, plaintif menyatakan, dalam pembentukan Malaysia terdapat keperluan untuk mengiktiraf dan memenuhi kedudukan istimewa Sabah dan peruntukan khas yang tidak terdapat kepada 11 lagi negeri Semenanjung dalam Persekutuan Tanah Melayu disebabkan saiz geografi Sabah, keunikan etnik dan agama serta masalah pembangunan.

Kata kenyataan itu, salah satu peruntukan khas untuk Sabah ialah peruntukan kewangan khas di bawah Perkara 112C dan seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Ia memperuntukkan hak istimewa bagi Sabah untuk menerima geran khas sebanyak dua perlima atau 40 peratus daripada jumlah hasil bersih yang diperoleh oleh Persekutuan daripada Sabah. Selain itu, Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan semakan semula pemberian khas.

Jelasnya, pada 1 Disember 1969 Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bersetuju untuk kajian semula menurut Perkara 112D bahawa untuk tempoh lima tahun dari 1969 hingga 1973, Kerajaan Persekutuan akan berhenti membuat pembayaran kepada 40 peratus kelayakan Sabah di bawah seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh.

Baca seterusnya di: Utusan Malaysia

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top