‘PH Sabah Tak Minta Jawatan Dalam Kabinet Negeri’

Phoong-Jin-Zhe.jpg

Phoong Jin Zhe

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak meminta sebarang jawatan dalam kabinet Sabah, kata Menteri Pembangunan Perindustrian yang baru, Phoong Jin Zhe (gambar).

Bercakap kepada pemberita di sini kelmarin, Phoong berkata keputusan untuk menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai ketua menteri diputuskan olehnya dan enam Adun lain semata-mata untuk memastikan kestabilan politik di negeri itu.

“Ia adalah satu langkah yang terpaksa kami lakukan.

“Kami tidak meminta pelantikan mana-mana Adun PH dalam kabinet negeri sebagai balasan. Itu atas kerelaan beliau sendiri.

“Sama ada kerajaan negeri hendak diubah menjadi kerajaan perpaduan selepas penggalnya tamat terpulang kepada mereka,” kata Phoong, lapor Malaysiakini yang memetik laporan Borneo Post.

Jumaat lalu, pentadbiran Hajiji goyah selepas 12 daripada 17 Adun BN menarik balik sokongan terhadapnya.

Keesokan harinya, tujuh Adun PH menyatakan sokongan kepada kepada Hajiji. Phoong yang juga Adun Luyang dan Adun Api Api Datuk Christina Liew kemudiannya dilantik dalam kabinet Hajiji.

Phoong berkata dakwaan bahawa PH sebagai “kemaruk kuasa” adalah tidak benar kerana mereka tidak memulakan usaha menggulingkan kerajaan sedia ada.

“Jika kami mengambil bahagian dalam percubaan sedemikian, maka anda boleh katakan bahawa kami kemaruk kuasa. Namun, kami tidak pernah mengambil sebarang inisiatif untuk menggulingkan kerajaan walaupun kami boleh melakukannya,” kata Phoong.

Phoong mendakwa “kedua-dua pihak” meminta Adun PH untuk menandatangani akuan bersumpah tetapi tawaran itu ditolak.

Mengibaratkan situasi itu dengan “Langkah Sheraton” pada 2020, Phoong berkata forum yang betul untuk membuktikan sokongan kepada ketua menteri adalah melalui dewan undangan negeri.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top