KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan menyelesaikan perbincangan dalaman antara parti komponen mereka terlebih dahulu sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan parti atau gabungan lain.
Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata PH telah membentuk Jawatankuasa Rundingan Kerusi untuk Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dan akan fokus menyelesaikan rundingan dalaman sebelum menjalin kerjasama dengan pihak luar.
“PH telahpun mengadakan beberapa siri mesyuarat dan PH Sabah akan menyelesaikan dulu perbincangan serta rundingan dalaman sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan.
“Dalam proses rundingan nanti, PKR ingin menekankan agar pendekatan inklusif dapat dilaksanakan secara adil,” kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.
PKR menegaskan perbincangan perlu meliputi pembahagian kerusi dan jawatan, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN), GLC, kampung dan juga komuniti.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menyatakan PKR menyambut baik cadangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengenai rundingan kerusi dan kestabilan politik.
“Semalam juga pihak PH dan Barisan Nasional (BN) telah mengadakan perbincangan tidak rasmi untuk meneliti titik-titik pertemuan dan menghormati perbezaan pandangan dalam menentukan hala tuju politik Sabah yang memerlukan pendekatan berbeza dengan konteks Semenanjung.
“Bagaimanapun, PKR ingin menegaskan bahawa prinsip asas kerjasama ini perlu didasari oleh pengurusan tatakelola yang baik dan meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat diutamakan,” katanya.
Namun, ujar beliau, PKR terbuka untuk kerjasama demi memperkukuhkan kerajaan Madani pada PRN yang dijangka tahun depan.