PH Sabah Mungkin Meterai MoU Dengan GRS Demi Kestabilan Politik

madius.png
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah akan bertemu malam ini bagi membincangkan rancangan sama ada mereka akan menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS), seperti perjanjian PH dengan Putrajaya.

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, PH memulakan rancangan ini susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di peringkat persekutuan bulan lalu.

Katanya, pemimpin PH, termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, telah menemui Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebagai menghormati pemimpin pembangkang Sabah itu untuk melihat jika partinya berminat menyertai MoU itu, yang ditolaknya di peringkat persekutuan.

“Namun, beliau tidak berminat dan menolak tawaran itu,” kata Ahli Parlimen Tuaran itu kepada FMT.

“Jadi, malam ini, pemimpin PH Sabah akan berbincang jika ia akan meneruskan MoU itu dalam keadaan semasa.”

Tangau mengulas laporan Daily Express yang mendakwa PH dijangka menandatangani MoU dengan GRS tidak lama lagi untuk menjalin kerjasama bipartisan bagi mencapai kestabilan politik di Sabah.

Memetik seorang pemimpin tertinggi PH yang enggan dinamakan, akhbar itu berkata, MoU berkenaan hampir sama dengan yang ditandatangani PH dengan Putrajaya bulan lalu.

Tangau berkata, tidak tepat untuk mengatakan PH Sabah bersetuju menandatangani perjanjian itu kerana rundingan masih berjalan.

“Apa yang saya boleh beritahu anda ialah kami telah mengesahkan syarat di bawah MoU itu. Lim telah menemui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan beliau berminat berbincang lebih lanjut,” katanya.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu bagaimanapun enggan mendedahkan apakah syarat MoU berkenaan, tetapi berkata ia akan disesuaikan untuk negeri itu, sambil menambah “semangatnya adalah sama (seperti MoU persekutuan), tetapi syaratnya berbeza”.

Menjawab kemungkinan reaksi balas daripada rakyat Sabah, terutamanya penyokong mereka, Tangau berkata, MoU itu perlu demi kestabilan politik bagi menangani isu berkaitan pemulihan ekonomi daripada Covid-19 dengan berkesan.

“Tetapi ketika anda mencari kestabilan politik, akan ada keperluan untuk reformasi. Jadi, jika reformasi yang kita minta disepakati bersama, apa salahnya?”

Bagaimanapun, katanya, PH Sabah akan terus menjadi semak dan imbang kepada kerajaan kerana ia adalah tanggungjawabnya sebagai pembangkang di Sabah. – FMT

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top