PH Sabah Mahu Saman Tengku Zafrul Berkait Kenyataan Hasil Cukai 40%

tengku-zafrul.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung kenyataannya mengenai formula perkongsian cukai 40% ke atas hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah tidak lagi terpakai.

Pakatan pembangkang itu berkata, ia akan mencabar kesahihan kenyataan Tengku Zafrul berikutan pendedahan bahawa perjanjian baharu pembayaran cukai dibuat ketika negara berada bawah darurat antara 1969 dan 1970, dan warta kerajaan mengenai perkara itu tidak boleh didedahkan kepada pengetahuan umum.

“Kami berpendapat sekiranya benar warta mengenai pembayaran 40% ini dirahsiakan daripada rakyat Sabah, satu tindakan penipuan telah dilakukan terhadap pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“PH Sabah akan terus menghormati Perlembagaan Persekutuan dan negeri dalam mengejar hak Sabah seperti termaktub bawah MA63.”

Kenyataan itu ditandatangani bersama Ketua PKR Sabah Datuk Christina Liew, Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ketua DAP negeri Datuk Frankie Poon dan Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu.

Kelmarin, Ahli Parlimen Sepanggar daripada Warisan, Datuk Azis Jamman mempersoalkan mengapa warta kerajaan mengenai formula perkongsian cukai hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah telah “dirahsiakan” sejak 1970.

Azis berkata, penemuan itu dibuatnya selepas membaca surat daripada Tengku Zafrul yang ditujukan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan SeiAzhar Harun.

Surat itu sebagai jawapan kepada usul Azis, yang ditolak, untuk merujuk Tengku Zafrul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan berhubung formula perkongsian cukai 40%, yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Tengku Zafrul, dalam suratnya, telah menyatakan bahawa beliau tidak mengelirukan dewan kerana terdapat warta kerajaan mengenai pindaan untuk menggunakan Perkara 112D sebagai asas pembayaran geran khas tahunan kepada negeri itu.

Kerajaan persekutuan dan Sabah telah bersetuju kadar bayaran tahunan akan dilaksanakan bawah Perkara 112D, menjadikan formula asal bawah Perkara 112C terbatal.

“Keputusan (untuk menggunakan Perkara 112D sebagai asas pembayaran) telah dibuat pada 1 Sept 1969 dan diwartakan pada 17 Sept 1970, semasa darurat,” kata Azis dalam kenyataannya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa warta itu dirahsiakan sedangkan ia sepatutnya diketahui umum sejak 50 tahun lalu.

Sementara itu, PH Sabah berkata, pihaknya mengalu-alukan jaminan Ketua Menteri, Hajiji Noor di DUN kelmarin bahawa negeri itu tidak akan berundur mendapatkan hasil cukai 40% untuk dikembalikan kepada Sabah.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu ia menjadi retorik politik semata-mata dan akan memberi tempoh sebulan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan bayaran seperti yang dijanjikan di bawah Perkara 112C dan 112D.

“Jika negeri gagal, PH Sabah, khususnya Ahli Parlimen dan ADUN kita, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah berhubung perkara ini.”

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top