PH Sabah Mahu Kerajaan Kecam Kenyataan Senator Filipina

Francis-Tolentino.jpg

Francis Tolentino

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mahu kerajaan mengecam kenyataan seorang Senator Filipina yang meminta kerajaan negaranya merebut peluang meneruskan tuntutan terhadap Sabah, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan bersama pemimpin parti komponen PH Sabah, mereka berpendapat gesaan Senator negara terbabit berikutan keputusan timbang tara yang dituntut pihak mendakwa waris Sultan Sulu terhadap kerajaan Malaysia tidak boleh dibiarkan.

PH Sabah berkata, kenyataan Senator Francis Tolentino itu, yang turut menyatakan bahawa seramai 750,000 rakyat Filipina hidup tanpa faedah kesihatan, keselamatan sosial dan tanpa kewarganegaraan di Sabah sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.

“Kami yakin bahawa angka itu sebenarnya jauh lebih tinggi. Bagaimanapun, jumlah 750,000 itu adalah masih sangat tinggi dan perkara ini seharusnya diambil serius oleh kerajaan Malaysia.

“Sekiranya kenyataan itu adalah benar, apakah tindakan kerajaan persekutuan untuk menangani perkara ini?

“Memandangkan Senator Tolentino mengakui bahawa mereka adalah warga Filipina dan tanpa kewarganegaraan di Sabah, jelas menggambarkan bahawa golongan itu adalah pendatang tanpa izin (PATI) yang harus dihantar pulang.

“Oleh itu, kerajaan Filipina mesti bersedia dan sanggup untuk menerima mereka kembali,” katanya.

PH Sabah berkata, kenyataan yang dikeluarkan seorang wakil rakyat Senat Filipina itu amat berbahaya dan tindakan beliau untuk mencabar kedaulatan negara ini secara terbuka adalah satu ancaman terhadap keselamatan Sabah dan rakyatnya.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kenyataan ini boleh mencetuskan kebencian dan kemarahan warga Filipina yang semakin meningkat terhadap kerajaan Malaysia dan Sabah.

“Ini kerana wujudnya dakwaan bahawa mereka yang berada di Sabah menerima layanan buruk dan dinafikan akses kepada kemudahan kesihatan dan faedah keselamatan sosial,” katanya.

Pada masa sama, PH Sabah berpendapat tuntutan berterusan terhadap Sabah menggambarkan kegagalan kerajaan untuk memahami dan menyelesaikan secara tuntas masalah kehadiran empat kategori pendatang Filipina di Sabah.

Empat kategori itu yang dianggap PH Sabah semakin meruncing ialah pelarian, orang tanpa kerakyatan, PATI dan mereka yang memperoleh kad pengenalan Malaysia secara haram.

“Berapa banyak lagi ancaman terhadap Sabah dan rakyatnya harus dibuat supaya kerajaan persekutuan mengambil usaha yang serius untuk memutuskan penyelesaian yang komprehensif dan tegas terhadap masalah yang sekian lama dibiarkan berterusan itu.

“Baru-baru ini kita melihat keputusan timbang tara dibuat terhadap kerajaan Malaysia dan kini seorang Senator secara terbuka menuntut kerajaannya untuk meneruskan tuntutan mereka terhadap Sabah,” katanya.

Kenyataan bersama PH Sabah itu mewakili Pengerusinya, Datuk Christina Liew; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon; Pengerusi PKR Sabah, Datuk Sangkar Rasam dan Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top