PH Sabah Jumpa Hajiji, Kemuka Agenda Reformasi

hajiji-n-PH.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah, pada Isnin, telah berjumpa Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bagi mengemukakan cadangan agenda reformasi Sabah.

Antara agenda yang dikemukakan PH Sabah kepada Hajiji termasuk syor berkaitan belanjawan pemulihan ekonomi untuk diambil kira dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentang pada 3 Dis.

Dalam satu kenyataan bersama, gabungan itu turut mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Ekonomi Sabah.

Agenda berkenaan juga termasuk reformasi-reformasi yang perlu dilaksanakan di DUN Sabah bagi membolehkan tadbir urus demokrasi yang lebih progresif serta semak dan imbang yang lebih berkesan.

“Terdapat tujuh agenda reformasi yang dikemukakan PH Sabah kepada ketua menteri iaitu autonomi Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, tadbir urus menangani pandemik Covid-19, pelan pemulihan ekonomi Sabah, reformasi pentadbiran dan politik, reformasi DUN, tadbir urus orang asal Sabah serta tadbir urus keselamatan.

“Agenda ini, antaranya, mencakupi penggubalan rang undang-undang anti lompat parti, rang undang-undang peruntukan pembangunan kawasan dan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi mengimbangi setiap kementerian yang ada di Sabah,” katanya.

PH Sabah berkata, agenda ini juga mencakupi syor untuk menubuhkan Tribunal Tanah, Jabatan Kehakiman Anak Negeri dan Yayasan Tanah Anak Negeri.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu dan Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Katanya, agenda reformasi Sabah adalah sesuatu yang sudah lama tertangguh dan seharusnya menjadi agenda bersama kesemua parti politik dan penggubal undang-undang sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang.

“PH Sabah mengalu-alukan komitmen dan jaminan ketua menteri untuk berbincang dengan parti-parti gabungan dalam kerajaan bagi mendapatkan konsensus untuk sama-sama memperjuang dan menjayakan agenda reformasi Sabah.

“PH Sabah juga ingin menegaskan bahawa agenda reformasi Sabah ini bukan memorandum persefahaman (MoU) seperti dilaksanakan di peringkat kerajaan persekutuan,” katanya.

Kata mereka, agenda berkenaan adalah syor konsensus agar semua parti di Sabah bekerjasama memastikan hak rakyat Sabah diperjuangkan dengan sebaik-baiknya terutama menuntut pelaksanaan (MA63) dan autonomi Sabah dalam bidang kesihatan, pendidikan, sumber semula jadi dan pengangkutan serta keperluan tadbir urus dalam negeri Sabah berkaitan imigresen, pendaftaran negara dan buruh.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top