PH Peruntukkan 5 Kerusi Parlimen Kepada UPKO Di Sabah

ewon.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sah bertanding di lima daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bulan depan.

Bharian hari ini melaporkan Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, berkata kerusi terbabit ialah Tuaran, Penampang, Beluran, Libaran dan Kimanis yang diputuskan hasil perbincangan dan rundingan bersama rakan PH Sabah, iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Rundingan itu bukan hanya membabitkan kerusi Parlimen, sebaliknya lima kerusi itu datang dalam pakej, iaitu termasuk untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang membabitkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Maknanya, walaupun kita tidak dapat kerusi Parlimen lain, tapi kita dapat DUN. Jadi ia adil,” katanya ketika ditemui media pada Program PH, di sini, malam tadi.

Mengenai calon, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan bakal Presiden UPKO, berkata perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, menurut laporan Bharian lagi, Ewon sebelum ini sudah disahkan akan bertanding kerusi Parlimen Penampang, manakala Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau akan mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran yang disandangnya sejak 1999.

Difahamkan, rundingan masih dilakukan bagi mendapatkan kerusi tambahan untuk UPKO yang dijangka diketahui pada pengumuman calon parti itu selewat-lewatnya minggu depan.

Difahamkan, PKR mendapat agihan kerusi terbanyak dengan sekurang-kurangnya 12 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, diikuti DAP, UPKO dan AMANAH.

Sementara itu, Ewon berkata, pihaknya juga bersetuju menggunakan logo PH pada PRU15 berbanding menggunakan lambang parti masing-masing pada PRU lalu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top