KUCHING: Pakatan Harapan (PH) mempunyai peningkatan momentum dalam meraih sokongan pengundi di Semenanjung Malaysia menjelang empat hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen (gambar) berkata, keputusan itu adalah hasil tinjauan yang dilakukan pelbagai institusi penyelidikan jam 6 pagi kelmarin.
Disebabkan itu katanya, PH memerlukan sekurang-kurangnya 12 kerusi dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Melalui tinjauan yang dilakukan, PH mempunyai peluang untuk memenangi 90 hingga 100 kerusi di Semenanjung Malaysia.
“Barisan Nasional (BN) berkemungkinan menang antara 32 hingga 42 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan menang 42 hingga 52 kerusi,” katanya pada sidang media di Jia Jia Court di sini hari ini.
Sementara itu kata Chong, bagi PH memenangi 22 kerusi dari Sabah dan Sarawak mungkin kelihatan tugas yang sukar tetapi untuk memenangi 12 kerusi adalah tidak mustahil.
Katanya, menerusi momentum yang semakin meningkat di Malaysia Barat, kerusi yang boleh dimenangi untuk PH semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Bagi kita di Sarawak, jika PH dapat mengekalkan 10 kerusi yang dimenangi PH pada 2018, maka PH akan mempunyai peluang yang sangat baik untuk membentuk Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, jika rakyat Sarawak memberikan undi kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), sudah pasti undi tersebut akan meletakkan UMNO kembali berkuasa.
Katanya, ia susulan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah mengumumkan secara terbuka pada 14 November lalu bahawa mereka akan bekerjasama antara satu sama lain.
Kerjasama tersebut bertujuan membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-15 dan sekiranya UMNO kembali, dengan kepimpinan yang ada sekarang, negara ini akan hancur, jelas Chong.