PADANG SERAI: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai, Dr Mohamad Sofee Razak berharap Barisan Nasional (BN) dapat memberi laluan kepada PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan parlimen Padang Serai, sebagai kompromi kepada apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.
Berita Harian melaporkan Mohamad Sofee sebagai berkata jika terpaksa bertembung sesama sendiri, beliau tidak mempunyai pilihan kecuali bekerja keras untuk memastikan penguasaan di kerusi itu kekal bersama PH.
“Satu tugas besar kepada saya untuk memastikan PH menang di sini dan teruskan kecemerlangan ditinggalkan mendiang M Karupaiya.
“Seperti mana yang berlaku di DUN Tioman, PH kompromi kepada BN. Cuma kita harap perkara itu boleh berlaku juga di Padang Serai iaitu BN beri peluang kepada PH.
“Namun kalau sekiranya berlaku pertembungan (antara PH dan BN) pada pandangan saya, kami kena kerja lebih kuat untuk PH menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai di sini, malam tadi.
Semalam media melaporkan, PH mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon BN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata bagi memenangkan calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang mewakili Kerajaan Perpaduan ini, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN.
Sebelum ini, Calon BN Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj merasakan tidak adil untuknya memberi laluan kepada PH di kerusi terbabit, sebaliknya meminta Mohamad Sofee yang didakwa baru tiba di Padang Serai memberi laluan kepadanya memandangkan beliau sudah tiga tahun ‘bekerja keras’ di kawasan itu.
Mengulas lanjut, Mohamad Sofee berkata pihaknya belum mengadakan sebarang perbincangan bersama BN berhubung perkara itu setakat ini, namun keputusan mengenainya perlu dibuat pucuk pimpinan PH dan BN di peringkat Pusat.
Selain Mohamad Sofee dan Sivaraaj, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon Perikatan nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Mohd Bakri Hashim (WARISAN) dan Sreanandha Rao (Bebas).