KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan mengalu-alukan sokongan Pakatan Harapan (PH) Sabah terhadap kerajaan negeri GRS-BN tetapi berkata, tiada kementerian tambahan di negeri itu akan diwujudkan, lapor FMT.
Menurut portal itu, kenyataan Jeffrey adalah sebagai respon kepada Pemuda Umno Sabah yang mahu peranan lebih langsung dalam kerajaan negeri dan Kitingan berkata: “Kami akan lihat bagaimana ini boleh dicapai.
“Tetapi kami tidak akan mewujudkan kementerian tambahan kerana ini boleh disalah anggap hanya untuk menampung rakan kongsi baharu kami,” katanya kepada FMT.
Selain ketua menteri, perlembagaan Sabah membenarkan maksimum sepuluh menteri dalam jemaah menteri negeri.
Kitingan berkata, jemaah menteri negeri telah memikirkan keperluan untuk mewujudkan atau menamakan semula kementerian untuk merangkumi kementerian kesihatan dan pendidikan, kementerian keselamatan dalam negeri dan kementerian tenaga dan utiliti.
Ketua Pemuda Umno Sabah Datuk Ir Aziz Julkarnain telah menyeru agar PH Sabah mengambil bahagian dalam kerajaan Sabah, contohnya dalam syarikat berkaitan kerajaan.
“Beberapa jawatan ini kini dipegang oleh ahli Perikatan Nasional,” katanya, ia termasuk Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, yang merupakan pengerusi POIC Lahad Datu Sdn Bhd.
PN kini merupakan pembangkang kepada kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim, yang disokong oleh GRS.
“SAPP mahu mengambil peluang. Itu tidak akan berlaku dalam keadaan politik yang tidak menentu hari ini,” katanya.
Aziz mencadangkan seorang ahli PH dilantik sama ada sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan, atau menteri kewangan II, kerana kedua-dua jawatan itu kini disandang oleh Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.