PH Desak Jeffrey Bentang Usul Kuasa Lebih Baik Untuk Sabah Tangani Covid-19

ewon-n-phoong.jpg
Kongsi Bersama

Pakatan Harapan (PH), mendesak Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan membentangkan usul daripada kerajaan untuk membuat enakmen membolehkan kerajaan negeri mempunyai kuasa yang lebih baik menangani pandemik Covid-19.

Naib Presiden Upko Datuk Ewon Benedick dan Ketua Pemuda PH Sabah Phoong Jin Zhe dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka pasti akan menyokong usul berkenaan sekiranya ia dibentangkan oleh kerajaan untuk diwartakan pada sesi DUN akan datang.

”Memandangkan Jeffrey adalah ahli Kabinet kerajaan, kami pasti menyokong sekiranya beliau dapat membentangkan usul daripada kerajaan ini untuk diwartakan semasa sidang DUN akan datang dan sekiranya beliau benar-benar ikhlas mengenai usul ini.

”Jika Jeffrey berniat ikhlas dalam perkara ini, beliau sepatutnya yang membentang usul ini daripada kerajaan, ini kerana dalam sistem Parlimen ‘Westminster’, usul-usul dan urusan-urusan kerajaan sentiasa akan dibentangkan di DUN,” kata kenyataan itu.

Ewon dan Phoong berkata, mereka sebelum ini telah mengemukakan usul khas di bawah Peraturan Tetap 31 (2) supaya satu ketetapan untuk membuat enakmen baharu berkaitan pencegahan dan pengawalan penyakit di Sabah.

Kata mereka, enakmen berkenaan sekiranya diluluskan akan memberi bidang kuasa yang lebih baik kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan penting bagi menyokong sistem kesihatan dalam berdepan pandemik Covid-19.

”Kami berpendapat, dalam usaha memperkasakan kerajaan negeri, kita sepatutnya mempunyai kuasa yang lebih besar dalam isu-isu berkaitan kesihatan contohnya seperti program vaksinasi.

”Ini juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan persekutuan serta membolehkan tindakan cepat bagi menghadapi kes harian yang semakin meningkat di Sabah.

”Kita akan berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang lebih teruk jika kita terus bersikap tunggu dan lihat. Sistem kesihatan di Sabah semakin tenat kerana berhadapan dengan kekurangan infrastruktur dan sumber manusia,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Jeffrey dalam respons berhubung usul itu berkata, enakmen berkenaan perlu disediakan supaya Sabah mempunyai bidang kuasa yang diperlukan dalam usaha menangani pandemik Covid-19 di negeri itu. – Berita Sabah


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top