PH Cenderung Setuju Memorandum Persefahaman Dengan K’jaan

guan-eng-anwar-matsabu.jpg
Kongsi Bersama

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memaklumkan gabungan itu cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu kenyataan, PH berkata memorandum persefahaman ini adalah susulan kepada pertemuan yang telah diadakan di antara pimpinan tertingginya dengan Ismail pada 25 Ogos lalu

“Secara dasarnya, Pakatan Harapan cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.

“Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik Covid-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

PH berkata pertemuan turut diadakan kelmarin di antara wakil PH dan wakil perdana menteri.

Wakil Perdana Menteri terdiri daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Manakala wakil PH terdiri daripada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

“Pertemuan semalam telah membincangkan sejumlah perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan menjalankan reformasi dalam bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani pandemik Covid-19.

“Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan,” katanya.

Majlis Presiden PH juga menyatakan pendirian bahawa suntikan fiskal tambahan sebanyak RM45 bilion perlu dilakukan kepada dana Covid-19 untuk menangani pandemik ini.

Selain itu, gabungan itu turut membincangkan langkah-langkah reformasi politik yang perlu disertakan di dalam memorandum dengan pihak kerajaan.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top