JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan kerusi DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.
Di Pulai, calon PH Suhaizan Kayat memperoleh sebanyak 48,283 undi, sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti undi 18,641.
Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai memperoleh 29,642 undi, manakala calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi memperoleh 528 undi, sekali gus hilang deposit.
Ini merupakan percubaan kali ketujuh Suhaizan yang merupakan bekas Speaker DUN Johor dalam pilihan raya, sekali gus ‘menamatkan kemarau’ kemenangan beliau.
Sementara itu di Simpang Jeram, calon PH, Nazri Abdul Rahman yang juga seorang jurutera menang dengan majoriti 3,514 selepas meraih 13,844 undi menewaskan pakar bedah yang mewakili PN, Dr Mohd Mazri Yahya yang meraih 10,330 undi manakala calon Bebas S.Jeganathan hanya mendapat 331 undi.